Kehamilan adalah masa yang paling sesuai untuk anda mula menjaga diri anda dengan baik dari kedua-dua segi fizikal dan juga emosi.

Namun begitu, ramai dalam kalangan ibu hamil yang seringkali mengalami masalah ketika melalui fasa kehamilan.

Jangan khuatir kerana anda boleh memberi peluang kepada diri anda untuk melalui kehamilan bebas daripada masalah dan memperolehi bayi yang sihat jika anda mengikuti beberapa tips hamil secara sihat yang mudah :

1. Pengambilan Asid Folik

 

 

Tambahan diet yang dianggap benar-benar penting ialah asid folik (juga dikenali sebagai folat) dimana ia boleh membantu mencegah spina bifida dan lain-lain kecacatan tiub neural bayi.

Spina bifida adalah penyakit kongenital yang serius. Ia berlaku apabila tiub yang melindungi sistem saraf pusat tidak menutup sepenuhnya dan boleh mengakibatkan ketidakupayaan yang teruk.

Semua wanita yang merancang untuk hamil dinasihatkan supaya mengambil tambahan harian folik asid 400mcg dari masa pembenihan dan sepanjang tiga bulan pertama kehamilan.

Anda juga boleh meningkatkan pengambilan folat semulajadi melalui pemakanan anda. Folat didapati dalam banyak makanan yang berbeza, terutama sayur-sayuran dan bijirin sarapan yang diperkuatkan dengan vitamin.

Lain-lain nutrien yang penting untuk kesihatan anda dan bayi anda adalah besi dan kalsium, yang pada umumnya diperolehi melalui pemakanan biasa anda.

2. Rawatan Antenatal 

 

 

Penjagaan antenatal yang baik adalah penting untuk kesihatan bayi anda. Memilih doktor yang akan menjaga anda dari awal lagi bermakna anda akan mempunyai banyak masa untuk membina hubungan yang baik sebagai persediaan untuk kelahiran.

Walaupun jika anda tidak mempunyai pilihan dari segi siapa yang anda mahu untuk mengendalikan anda (seperti di klinik-klinik dan hospital kerajaan), anda masih boleh membina persefahaman yang baik dengan seorang bidan atau pakar obstetrik yang sering anda jumpa dalam tempoh masa anda membuat pemeriksaan kehamilan.

 

3. Kurangkan Pengambilan Kafein

 

 

Kopi, teh dan minuman jenis cola adalah perangsang yang sederhana, dan walaupun bukti penyelidikan belum lagi jelas, sesetengah penyelidik berpendapat bahawa terlalu banyak kafein boleh menyumbang kepada risiko mendapat bayi mempunyai berat badan lahir rendah, atau meningkatkan risiko keguguran.

4. Makan Secara Baik

 

 

Anda tidak perlu “makan untuk dua orang” apabila anda hamil, atau minum susu penuh krim atau mengambil makanan tambahan yang dipasarkan sebagai susu untuk ibu. Malah, keperluan tenaga anda tidak berubah dalam tempoh enam bulan pertama kehamilan, dan keperluan ini hanya meningkat sedikit dalam tempoh tiga bulan yang terakhir (sebanyak sekitar 200 kalori sehari).

Walau bagaimanapun, adalah penting untuk mengambil diet yang sihat dan seimbang. Ramai wanita hilang selera terhadap makanan tertentu, tetapi makanan tersebut memang boleh digantikan dengan makanan lain yang mengandungi nilai-nilai nutrisi yang sama.

Pastikan diet anda merangkumi banyak buah-buahan dan sayur-sayuran (sekurang-kurangnya lima hidangan sehari). Sediakan hidangan makanan anda berasaskan karbohidrat seperti roti, pasta dan nasi (sebaik-baiknya jenis bijirin sempurna supaya anda mendapat serat pada kadar yang banyak).

Sertakan protein seperti ikan, daging, telur, kacang atau kekacang polong, dan sejumlah susu dan makanan tenusu, setiap hari.

Jangan mengabaikan sarapan pagi di samping mengawal saiz hidangan dan pemakanan snek di antara waktu makan.

5. Pastikan Kebersihan Makanan

 

 

Adalah lebih baik untuk mengelakkan makanan tertentu semasa hamil sebab ia membawa risiko kesihatan bagi bayi anda.

Jangkitan salmonella boleh berlaku disebabkan memakan daging ayam yang tidak dimasak sempurna dan telur mentah atau yang separa masak.

Listeria, yang boleh menyebabkan keguguran atau penyakit yang teruk bagi bayi baru lahir, mungkin berpuncakan keju lapuk matang yang lembut, seperti Brie dan Camembert, dan keju berurat biru, seperti Stilton.

Jangan makan semua ini semasa anda hamil. Keju keras, seperti cheddar dan keju lembut diproses, seperti keju kotej, Philadelphia dan Boursin, adalah selamat untuk dimakan.

Untuk mengelakkan toxoplasmosis, yang sebenarnya jarang berlaku, dimana ia boleh menjejaskan bayi dalam kandungan secara serius, adalah penting untuk memakai sarung tangan apabila mengendalikan pasir kumbahan kucing dan tanah tanaman.

Juga, elakkan daripada makan daging yang kurang masak atau mentah, dan cucilah sayur-sayuran dan sayur salad dengan rapi untuk membersihkannya dari sebarang tanah atau kotoran.

6. Hadkan Pengambilan Alkohol

 

 

Memandangkan sebarang alkohol yang anda minum akan sampai kepada bayi anda dengan cepat melalui aliran darah anda dan plasenta, anda boleh mengambil keputusan untuk tidak mengambilnya sama sekali, atau sekurang-kurangnya untuk mengawal jumlah yang anda minum.

Wanita yang banyak minum secara kerap (lebih daripada enam unit sehari) semasa mengandung  berhadapan risiko yang lebih tinggi untuk melahirkan bayi dengan gangguan spektrum alkohol janin (Fetal Alcohol Spectrum Disorder – FASD), yang menyebabkan pelbagai masalah dari masalah pembelajaran kepada kepada masalah kecacatan kelahiran yang lebih serius.

7. Bersenam 

 

 

Satu program senaman boleh memberi anda kekuatan dan ketahanan yang akan diperlukan untuk menampung berat badan anda yang akan bertambah semasa mengandung dan untuk menangani tekanan fizikal kelahiran. Ini juga akan memudahkan anda untuk kembali balik ke bentuk badan asal anda selepas bayi anda dilahirkan.

Senaman boleh menambah perasaan ceria dan membantu anda menangkis kemurungan semasa mengandung. Pakar-pakar tidak pasti macam mana senaman menyebabkannya, tetapi terdapat bukti yang semakin meluas bahawa ia mempunyai kesan positif ke atas bahan kimia otak seperti serotonin dan dopamina, yang membantu mengawal emosi dan perasaan anda.

Jika anda biasa menjalankan senaman dalam bentuk sejenis sukan, anda boleh teruskan sahaja selagi ia selesa untuk anda, melainkan jika sukan itu membawa risiko jatuh atau terhantuk. Senaman lebih ringan seperti berjalan, berenang dan aerobik air juga sangat bermanfaat.

 

8. Mula lakukan senaman lantai pelvik

 

 

Adalah agak biasa bagi wanita yang mengandung atau yang telah melahirkan anak untuk mengalami masalah tekanan inkontinens; apabila sedikit air kencing bocor akibat aktiviti tertentu, termasuk bersin, ketawa dan senaman. Anda boleh membantu mengelakkan perkara ini daripada berlaku dengan melakukan senaman lantai pelvis, dan mulakanlah ini sebelum hamil atau semasa mengandung.

Otot lantai pelvis adalah gantungan otot di dasar pelvis anda yang menyokong pundi kencing, vagina dan rektum. Ianya boleh terasa lemah daripada biasa semasa hamil sebab tekanan tambahan ke atasnya, dan sebab hormon kehamilan menyebabkannya mengendur sedikit.

Lantai pelvik anda boleh dikencang dan diperkuatkan dengan program latihan harian. Cadangan semasa mengesyorkan anda melakukan senaman lantai pelvis tiga kali sehari, sebanyak lapan kontraksi setiap kali. Baca artikel kami mengenai senaman lantai pelvis semasa mengandung untuk maklumat lanjut mengenai bagaimana untuk melakukannya dengan betul.

 

9. Banyakkan Berehat

 

 

Keletihan yang anda rasakan di trimester pertama dan ketiga sebenarnya adalah cara badan anda memberitahu anda supaya “jangan terlalu aktif”. Mungkin tidur di tengah hari terasa seperti perbuatan manja yang anda tidak mampu lakukan, tetapi anda dan bayi anda akan memdapat manfaat darinya.

Jika anda tidak boleh tidur, sekurang-kurangnya letakkan kaki ke atas dan berehatlah secara apapun yang sesuai dengan keperluan anda selama 30 minit atau lebih.

Jika sakit belakang mengganggu tidur anda, cuba urutan semasa hamil, kelas natal air, atau kelas senaman khusus untuk penjagaan belakang. Senaman dan aktiviti relaks juga boleh membantu dengan masalah tidur yang berkaitan dengan stres.

Cuba teknik relaks, yang selamat semasa mengandung, termasuk regangan dan pernafasan dalam. Jangan lupa memberitahu pelatih yang mengendalikan kelas senaman dan relaks itu yang anda sedang hamil atau pilihlah kelas khusus untuk wanita hamil.

Mudah bukan? Jangan takut untuk lalui fasa kehamilan dengan adanya tips-tips mudah seperti ini.

“Lalui detik-detik indah sepanjang kehamilan.”

Siti Noradilah
Ibugojes.com

 

Ketahui Tips-tips Hamil Secara Sihat

One thought on “Ketahui Tips-tips Hamil Secara Sihat

  • January 6, 2017 at 2:37 pm
    Permalink

    Saya pengguna set mengandung shaklee dan pengguna tegar shaklee..alhamdulillah shaklee terbaik

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge